19.10.2026| PEJABAT SPA ANJUR TAKLIMAT PERMAKANAN SEIMBANG DAN PENJAGAAN BERAT BADAN

Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Pejabat SPA) dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan (HPC), telah mengadakan taklimat bertajuk Permakanan Seimbang dan Penjagaan Berat Badan yang berlangsung di Ruang Latihan, Bangunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Taklimat ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pegawai serta kakitangan mengenai kepentingan permakanan seimbang, pemilihan makanan yang sihat dan pengambilan makanan dalam kuantiti yang bersesuaian bagi membantu mengekalkan berat badan yang sihat. Inisiatif ini adalah juga selaras dengan objektif strategik Pejabat ini dalam meningkatkan persekitaran kerja yang kondusif dan sepadu melalui usaha memupuk gaya hidup sihat. Dengan meningkatkan kefahaman terhadap pentingnya permakanan seimbang, ia dapat menyumbang kepada produktiviti kerja, serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan harmoni.

Hadir bersama ialah Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam iaitu Dayang Sufinah binti Haji Serudin serta pegawai dan kakitangan Pejabat SPA.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II iaitu Awang Mustaqeem bin Matassim dan diikuti dengan ucapan alu-aluan disampaikan oleh Dayang Suhaila binti Matzan, Penolong Kanan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Taklimat seterusnya disampaikan oleh Awang Nelson Dennis, Pegawai Penjaga Zat Makanan daripada Pusat Promosi Kesihatan (HPC), yang memberikan penerangan mengenai amalan pemakanan seimbang dan penjagaan berat badan.

Melalui taklimat ini, pegawai dan kakitangan diharap akan dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperolehi dalam kehidupan seharian ke arah mengamakan gaya hidup yang lebih sihat.

Disediakan oleh:

Unit Perhubungan Awam,

Bahagian Pengurusan dan Kewangan

 Artikel: Rudi | Foto: Sam