Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

05.06.2025| PORTAL PSC RECRUITMENT 2.0 AKTIF SEMULA PADA 09 JUN 2025

PORTAL PSC RECRUITMENT 2.0
AKTIF SEMULA PADA 09 JUN 2025

 
Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ingin memaklumkan bahawa penyelenggaraan dan pengukuhan keselamatan sistem PSC Recruitment 2.0 (PSCR 2.0) yang telah dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) telah selesai dan portal PSCR 2.0 akan diaktifkan mulai hari Isnin, 09 Jun 2025.

Apabila portal tersebut diaktifkan nanti, pengiklanan jawatan kosong yang terjejas bermula 19 April 2025 akan mula dilanjutkan selama 2 minggu dan tutup pada 23 Jun 2025. Senarai jawatan kosong berkenaan akan diterbitkan di media sosial PSC.BN (Instagram/ Facebook/ Telegram channel), Pelita Brunei dan laman sesawang Pejabat SPA di www.spa.gov.bn.

Pejabat SPA dan pihak EGNC telahpun mengambil langkah-langkah yang wajar dalam memastikan maklumat dan dokumen pengguna adalah kekal selamat serta tersimpan. Dalam masa yang sama, para pengguna dinasihatkan juga untuk membuat penyemakan profil masing-masing terlebih dahulu sebelum membuat sebarang permohonan jawatan kosong memandangkan keselamatan sistem telah diperkukuhkan lagi. Bagi pertanyaan mengenai melengkapkan profil atau memerlukan khidmat bantu, para pengguna disarankan untuk menghadapkan pertanyaan melalui modul “Aduan Saya" di portal PSCR 2.0 dengan memilih jenis aduan atau pertanyaan yang betul.  

Dalam pada itu, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Pejabat SPA juga menambahbaik ciri-ciri pada sistem PSCR 2.0 yang bertujuan untuk melancarkan lagi proses permohonan jawatan kosong dalam Perkhidmatan Awam. Dengan ini, Pejabat SPA mengumumkan bahawa terdapat 2 ciri baharu yang akan diperkenalkan semasa portal diaktifkan nanti. Ciri baharu yang pertama ialah Semakan Profil (Profile Review); dan kedua, Notifikasi Emel (Email Notification) bagi panggilan ujian dan temu duga.
 
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai ciri-ciri baharu berkenaan, sila layari media sosial PSC.BN dan ruang “Panduan" portal PSCR 2.0 (www.recruitment.gov.bn).

Bagi sebarang pertanyaan, pengguna dan orang ramai boleh terus menghubungi Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam melalui meja bantuan di talian Whatsapp atau Telegram di talian +673 7371961 semasa waktu bekerja atau melalui modul “Aduan Saya" PSCR 2.0 dengan memilih jenis pertanyaan yang bersesuaian atau melalui Talian Darussalam 123.

Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sekali lagi memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi dan merakamkan berbanyak terima kasih atas kesabaran, pemahaman serta kerjasama para pengguna. Diharapkan dengan penaiktarafan yang dilakukan ke atas portal tersebut akan memudahkan dan memperbaiki lagi pengalaman pengguna apabila memohon jawatan kosong dalam perkhidmatan awam.

 
Dikeluarkan oleh:
Unit Perhubungan Awam
Bahagian Pengurusan dan Kewangan
Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam

 PSPA JPM Logo.jpg

Tarikh:  08 Zulhijjah 1446 H / 05 Jun 2025 M

Rujukan: (02)SPA/UPA/PR/2025 (Final)


Attachments