Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

02.03.15 | Sistem PSC Recruitment kemudahan menghadapkan permohonan




Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memperkenalkan Sistem Public Service Commission (PSC) Recruitment bagi kemudahan menghadapkan permohonan dan mempercepatkan proses pengambilan serta pengisian jawatan kosong yang dikendalikan.

Penolong Setiausaha, SPA, Dayang Hajah Maimunah binti Seruji menjelaskan perkara itu pada sesi Taklimat Mengenai Sistem PSC Recruitment kepada Pegawai-pegawai Perhubungan Kementerian dan Jabatan yang berlangsung di Dewan Penghayatan, Institut Perkhidmatan Awam, di sini.

Jelasnya, sistem ini adalah bagi menanai Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa sambutan Hari Perkhidmatan Awam Kali Ke-21 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas pada 27 November 2014 yang mana baginda antara lain telah memperkenankan penggunaan kaedah ‘online recruitment’ bagi orang ramai boleh membuat urusan-urusan secara ‘online’ dalam masa yang singkat.

Sistem tersebut tambahnya, adalah menggunakan aplikasi internet yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja dan mulai 28 Februari yang lalu, semua permohonan jawatan hendaklah dibuat melalui Portal PSC Recruitment.

“Oleh yang demikian, orang ramai boleh memasukkan dan mengemaskinikan sendiri maklumat peribadi dalam ruang 'My Profile' masing-masing dalam sistem, menghadapkan permohonan jawatan kosong dan mengetahui status permohonan mereka, semuanya boleh dilakukan dalam talian atau secara ‘online’ menggunakan sistem berkenaan,” ujarnya lagi.

Seramai 120 peserta menghadiri taklimat tersebut yang terdiri daripada pegawai-pegawai yang mempunyai bidang tugas dan tanggung jawab dalam hal ehwal pentadbiran atau pengurusan sumber tenaga manusia di kementerian dan jabatan masing-masing telah dilantik selaku 'Point of Contact' (POC) Sistem PSC Recruitment.

Sebagai POC, pegawai berkenaan berperanan untuk mengurus, memproses, membuat dan seterusnya menghadapkan sokongan tertentu bagi pihak Ketua Jabatan, secara ‘online’ melalui sistem bagi setiap permohonan yang dibuat oleh pegawai dan kakitangan di kementerian atau jabatan masing-masing.

Turut hadir pada sesi taklimat tersebut ialah Setiausaha SPA, Awang Salminan bin Haji Burut.

Antara lain tujuan taklimat diadakan ialah untuk memberi penerangan mengenai sistem PSC Recruitment, latar belakang dan faedah pelaksanaannya, pendekatan lanjut mengenai tatacara menghadapkan sokongan kementerian dan jabatan melalui Sistem PSC Recruitment serta peranan dan tanggungjawab POC.

Taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Kerja di Bahagian Pengambilan, Pejabat SPA, Dayang Norefna binti Abdullah dan CAMP Intern dari Brunei Solutions Development Centre (BSDC), Dayang Nurazmina binti Haji Sidek, dihasratkan dapat meningkatkan persediaan kementerian dan jabatan sebelum iklan jawatan-jawatan kosong yang pertama dikeluarkan dalam Sistem PSC Recruitment bermula hari Rabu, 4 Mac 2015.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto


Attachments